Archive for the ‘Autumn’ Category

Mimpi

Assalamualaikum wbt

Allahumma salli ‘alaa sayyidina Muhammad wa’alaa aali Muhammad.

Hari ini hari Jumaat. Penghulu segala hari. Sepanjang Ramadhan ini, saya banyak kali didatangi mimpi yang jarang-jarang saya alami ketika bulan biasa. Dalam banyak-banyak mimpi, mimpi malam tadi paling terkesan. Entah kenapa, saya terasa seperti bukan mimpi. Terasa dekat dengan kehidupan harian dan semua yang terlibat sangat saya kenali.

Walaupun mimpi bukanlah sesuatu yang boleh kita percayai, tapi jauh di sudut hati, saya sentiasa mendoakan yang baik-baik saja untuk kesemua yang muncul di dalam mimpi saya sepanjang Ramadhan ini. Lebih terkesan, malam tadi, arwah Chik Joe saya datang bertemu saya dan berbual panjang dengannya. Semoga Chik tenang saja di sana.

Juga, saya bermimpi tentang saya di masa depan. Tak salah jika saya mendoakan begitu kesudahannya tapi saya ini cuma orang biasa yang tak punya apa-apa. Tak layak untuk saya meminta-minta kepada Allah.

Kuih yang berjaya dibuat malam tadi ialah biskut coklat chip. Tapi saya selalu panggil biskut chipsmore je. Bukannya kami semua tak ada kuih yang dibawa dari Malaysia tapi sengaja hendak merasakan suasana meriah bergotong-royong menyediakan kuih-muih. Hehe. Tapi sebenarnya saya seorang saja yang membuat kuih malam tadi. Si Fatt datang mengempeng menjadi jurugambar. Sekarang ni dia tengah obses dengan jurnal bergambar (photojournalism). Silalah raya nanti ambil gambar banyak-banyak ye Fatt =) Kami serumah ada agenda pada petang ini. Nanti kisahnya pada malam ini insya Allah.

Nota: Setiap kali Jumaat tiba, hati saya menjadi wardah gitu. Hehe.

Posted on September 26th, 2008 by Sarah  |  13 Comments »

Gian

Assalamualaikum wbt

Saya rasa sekarang saya gian. Gian hendak membaca novel-novel karya Hlovate. Walaupun di dalam novelnya mempunyai unsur-unsur pencemaran bahasa sedikit (saya ni pencinta Bahasa Melayu yang tegar), namun teknik penceritaan, susunan plot yang menarik dan selitan tazkirah-tazkirah yang boleh menyedarkan kita perkara-perkara asas sebagai Muslim betul-betul membuatkan saya tertarik dengan novelnya. Hlovate bermula dengan menulis e-novel dan kini novel-novelnya dibukukan. Tunas telah saya tamatkan. Dan oh! Saya tak sabar hendak membaca aA+bB pula.

Eh, Cik Sarah. Awak tu ada masa sangat ke bulan depan nak membaca segala benda alah ni? Hehe. Hobi tetap hobi.

Hari ni saya dapat pelepasan. Tak perlu ke hospital. Maka saya umumkan hari ni sebagai hari operasi membuat kuih raya. Yeay! Erm, boleh saya bersuasana raya dah? Teringinlah nak dengar lagu raya dah. Hehe =)

Nota untuk emak: Mak, mee hailam beres! Warna je tak cukup hitam. Kedekut kicap punya pasal. Kena berjimat. Kekekeke =p

Posted on September 25th, 2008 by Sarah  |  18 Comments »

Kenangan Ramadhan Di Moscow

Assalamualaikum wbt

Ketika tiba di sini pada Oktober 2003, saya merasakan Moscow ini kusam. Daun kekuningan saja. Kereta pun macam berdebu je. Saya tersilap tafsir sebenarnya. Rupanya, begitulah keadaan lazim di musim luruh. Bukannya pokok-pokoknya tak cukup zat, tapi musim luruh sudah bermula. Kereta pula macam berdebu kerana di penghujung musim panas, memang banyak debu.

Di penghujung November, Ramadhan bermula. Kebetulan hari pertama berpuasa adalah hari yang mempunyai kelas sehingga petang. Waktu itu, jarak di antara hostel dan bangunan akademik pelajar tahun satu adalah sekitar 1 jam setengah perjalanan menggunakan bas dan metro.

Pada sebelah petang, saya mempunyai kelas Biologi. Waktu itu musim sejuk sudahpun bermula. Waktu berbuka ketika itu ialah jam 4.33 petang. Saya masih ingat akan hal ini. Kelas tamat pada jam 4.30 sepatutnya tapi kami dilepaskan sedikit awal sekitar 3.50 petang. Maka saya dan kawan-kawan sekumpulan berangkat balik ke hostel terus. Sampai saja di Stesyen Bibliateka Imini Lenina, stesyen di tengah-tengah Moscow yang menghubungkan 4 laluan utama metro yang menjadi tempat pertukaran utama, jam telah menunjukkan pukul 4.25. Di dalam stesyen itu terdapat sebuah kafe kecil yang menjual makanan segera. Saya memnag tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan seperti coklat atau apa-apapun kecuali setengah botol air mineral yang dibawa untuk buat syarat saja bila berbuka. Tapi kesemua ahli kumpulan saya yang lain tidak mempunyai apa-apa bekalan. Jadi mereka ke kafe itu dan membeli 3 cawan besar coke dan kami menunggu saja di tepi jam dinding dalam stesyen itu sehingga tepat jam 4.33. Kami 11 orang berbuka bersama dengan berkongsi 3 cawan air coke (o.5 liter secawan) termasuklah 3 orang rakan group kami yang berbangsa Cina dan India. Setelah kosong ketiga-tiga cawan, barulah kami menyambung perjalanan.

Dan pernah juga saya hanya berbuka dengan coklat Snikers (kecil) ketika berada di dalam kelas General Chemistry. Disebabkan saya bukan penggemar coklat, kebiasaannya sebatang coklat itu akan saya kongsi bersama Meor, lab partner saya. Mula-mula dulu, cikgu kami pun tak faham. Jadi kami makan curi-curi saja. Tapi setelah dia faham, dia memberikan masa rehat yang fleksibel mengikut waktu berbuka. Dan namanya adalah Fetisova, seorang cikgu yang sangat baik hati dan keibuan.

Pernah juga berbuka hanya setelah 1 jam waktu berbuka berlalu. Ini gara-gara tersekat dalam kesesakan jalan raya dalam perjalanan menuju ke hostel. Dan lazimnya, kami di sini tidaklah berbuka dengan lauk-pauk dan hidangan mewah yang lengkap dengan kuih dan sebagainya. Ada 2 benda wajib untuk menu berbuka. Lauk utama, ayam, daging atau ikan, dan sejenis sayur. Kuih hanya bergantung kepada kelapangan masa. Sewaktu tahun satu dan dua dahulu, hanya di hujung minggu saja barulah sempat hendak menyediakan manisan mulut yang semestinya adalah kuih-muih tradisional.

Saya akui, hidup di luar ni lebih mengajar untuk menghayati erti Ramadhan yang sebenar. Apabila terpaksa bersusah-payah memasak sendiri segala juadah yang kita hajatkan dan berpenat-penat memasak beramai-ramai untuk majlis berbuka puasa di kedutaan, inilah pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Nota: Saya rasa satu hari nanti saya boleh buka katering saya sendiri dah kot. Kalau memasak untuk 400 orang makan, tu rasanya dah tak jadi masalah dah. Hehe.

Posted on September 24th, 2008 by Sarah  |  6 Comments »

Season Finale Bermula

Assalamualaikum wbt

Jangan terkejut. Saya berniat untuk menyambung coret-coret saya kembali. Mempertimbangkan ini adalah tahun terakhir saya di sini yang pastinya akan menjadi satu memori yang hendak saya kenang selamanya.

Season finale kisah pengembaraan hidup di Moscow pastinya penuh suka-duka yang menjanjikan saya menjadi lebih matang dalam membina diri dan masa depan.

Nota peribadi untuk dikenang, saya di sini sedang berpuasa hari yang ke-23 di musim luruh yang sangat sejuk suhunya. Dan ini merupakan Ramadhan dan murim luruh terakhir saya untuk tempoh 6 tahun permukiman saya di sini.

Dan dalam entri ke-333 pada tanggal ke-23 Ramadhan yang jatuh pada 23 September ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-23 buat sahabat baik saya Nurul Faaiqah Jainuddin =)

Daa~

Posted on September 23rd, 2008 by Sarah  |  16 Comments »