3 Minggu 3 Hari
Assalamualaikum wbt
Baca tajuk saja pun dah tahu apa maknanya, kan.
Begitulah lebih kurang. Insya Allah walimah saya tinggal 3 minggu 3 hari saja lagi dari hari ini. Serius, rasa seriau dada. Memikirkan jadual oncall yang padat, stress yang tak sudah-sudah disebabkan saya kini memegang jawatan Ketua Houseman di jabatan saya, persiapan majlis lagi. Kalau ikutkan, rasa nak tunda dulu majlisnya. Huhu. Tapi tak boleh. Memang kena selesaikan semuanya. Nanti langsung sudah tidak ada cuti untuk saya.
Alhamdulillah. Apa yang boleh saya katakan, bermula daripada bagaimana saya dan tunang bertemu, keluarganya datang berziarah dan merisik, betunang dan seterusnya membuat persiapan untuk majlis ini nanti, semuanya dipermudahkan Allah. Semuanya berlaku sekelip mata dan semuanya tanpa disangka-sangka.
Sejujurnya untuk tahun 2010 tu langsung saya tidak berniat untuk berkahwin lagi. Ada orang datang meminang, saya tolak dengan alasan belum terfikir untuk berkahwin lagi. Dan sebaik saja saya berniat, siapa yang datang ke rumah lepas ini dengan cara yang baik, cukup syarat-syarat asas yang saya cari, insya Allah saya akan terima. Siapa sangka, aturan Allah itu sangat cantik dan tepat pada masanya. Apa kisahnya, itu kita cerita-cerita di lain entri ya.
Ingat tak dalam entri-entri merepek saya ketika zaman masih bergelar seorang pelajar, saya selalu saja sebut bahawa saya menunggu Mr. Right yang ada ciri-ciri seorang computer geek, juga seorang photographer dan ada Master? Agak-agak saya dapat tak semua ni?
Oh ya. Saya masih belum memberitahu tarikh majlisnya. Insya Allah, akad nikah akan berlangsung pada 12 Mac dan kenduri pada 13 Mac di rumah saya. Kepada semua rakan pembaca yang sudah bertahun-tahun bersama saya, jemput datang ke Temerloh ya. Nanti saya letakkan plan ke rumah saya, insya Allah.
Nota 1: Dah lama tak bercuti. Kerja nonstop. Semata-mata nak cuti kawin punya pasal, semuanya sanggup aje.
Nota 2: Terima kasih atas titipan doa daripada semua. 🙂
Nota 3: Kewujudan blog ini ada signifikannya yang tersendiri. Terima kasih, Dunia Sarah!