Say No To Racism!

Assalamualaikum wbt

2 Januari 2016

Petang semalam, saya dan suami membawa anak-anak ke Rabbit Fun Land di kaki Bukit Broga. Cuaca tidak panas dan orang juga agak ramai pada waktu itu. Apa yang nyata, memang ramai keluarga berbangsa Cina berkunjung ke sana. Cuma ada 3 buah keluarga Melayu saja termasuk kami. Anak-anak saya bermain di kawasan arnab bersama-sama dengan anak-anak sebuah keluarga Cina yang kerap beriringan dengan kami ketika di bahagian kambing, kuda, lembu mahupun rusa. Saya juga berbual-bual dengan ibu berbangsa Cina itu. Fasih dia berbahasa Melayu. Anak-anaknya juga boleh berbahasa Melayu walaupun baru berumur 2 dan 6 tahun.

Sewaktu saya membawa Izz ke buaian gergasi, terdapat sebuah keluarga Melayu sedang bermain di situ. Sebaik Izz tiba dan hendak menaiki buaian tersebut bersama yang lain, salah seorang kanak-kanak di situ berkata kepada Izz “Ish, ada budak Cina pulak. Susah la ada orang Cina ni.” Nadanya merengus, seakan sangat tidak senang dengan kehadiran “budak Cina” ini.

Memang ketika itu saya agak kebelakang daripada Izz. Tersentap hati saya mendengar ucapan budak itu. Ibu ayahnya turut ada di situ tetapi langsung tidak menegur pertuturan anaknya yang berbaur perkauman itu.

Sengaja saya merapati Izz dan saya sebutkan, “Ni anak Melayu ni, dik. Kalau anak Cina pun, apa salahnya bermain bersama.”

Di belakang saya, telah tiba sebuah lagi keluarga Cina lain untuk menaiki buaian tersebut. Saya membantu anak-anak mereka untuk menaiki buaian tersebut dan si ibu yang membawa tiga orang anak itu tersenyum kepada saya.

Kalaulah saja mereka mendengar apa yang dituturkan oleh budak lelaki Melayu itu, pastinya boleh berkecil hati. Walaupun anak saya Melayu tetapi berwajah Cina, saya pun berkecil hati mendengar persepsi “racist” budak lelaki Melayu tersebut.

Saya tidak menyalahkan budak itu sepenuhnya. Peranan ibu bapa sangat penting untuk mencorakkan dasar yang baik dalam membentuk keharmonian dan penerimaan pada perbedaan yang ada. Kita memang berbeza warna kulit, phenotype wajah dan juga bahasa. Tetapi kita semua adalah sewarga negara dan sewajibnya menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara keharmonian itu. Saya agak kecewa dengan ibu bapa kanak-kanak tersebut yang langsung tidak berbuat apa-apa sama ada menegur perlakuan anaknya apatah lagi memohon maaf kepada yang terlibat agar dapat memulihkan suasana.

Jika kita tidak boleh menjadi orang yang memercikkan momentum keharmonian di permulaannya, jangan pula kita menjadi segolongan yang memercikkan kebencian dan perkauman sesama kita.

Kerana bagi saya, Malaysia adalah unik kerana adanya kita semua warga negara yang berbilang bangsa.

#koleksistatussarah

Posted on January 17th, 2016 by Sarah  |  No Comments »

Family Activity

Assalamualaikum wbt

10 Januari 2016

Sedang saya menyapukan masker di muka suami yang sedang baring di ribaan, Izz dan Zayd pun datang bertenggek di tepi sofa kami untuk melihat apa yang sedang si mama lakukan pada si ayah. Ayahnya pula ber’aduh-aduh’ bila saya memicit untuk mengeluarkan black dan white heads yang ada di mukanya.

Tiba-tiba, Izz pergi ke hujung sofa dan memeluk kaki si ayah. “Supaya ayah jangan bergerak”, katanya, lantaran melihat si ayah yang tak diam duduk akibat hidung dipicit-picit. “Boleh mama buat elok-elok”, katanya lagi.

Tiba-tiba Zayd pula menepuk-nepuk perut ayahnya dan berkata “Ayah, sabar. Ayah, sabar.”

Hahahahahaha. We should do this more often. Because this is a kind of family activity. Indeed, IT IS!

#koleksistatussarah

Posted on January 17th, 2016 by Sarah  |  No Comments »

Koleksi Status

Assalamualaikum wbt

Semakin jarang nampaknya saya berkesempatan untuk mengemaskinikan blog ini. Kadang-kadang, memang ada sesuatu yang berlegar di kelapa dan hati untuk saya luahkan. Tapi memang tak sempat. Memang sehingga ke hari terakhir tahun 2015 yang lalu, saya terlalu sibuk. Bermalam-malam tak tidur untuk siapan kerja. Siapa kata bila sudah berada dalam Kesihatan Awam spesifiknya di Perancangan ni sudah tak ada oncall. Ada. Cuma keadaan yang berbeza dan tak ada elaun pun. Hahaha. Sadis. Lepas tu stress memang menimbun. Ingatkan sibuk sampai di situ sahaja. Masuk saja ke tahun baru, sambungan kerja yang lain pula menjengah. Stress semakin menggunung.

Bila ada rasa nak menulis sesuatu, saya kemaskinikan di Facebook sahaja. Cuma saya memang dah tak minat untuk masuk campur isu-isu semasa yang semua orang pun nak bagi pendapat sendiri. Contohnya isu unassisted home birth, anti vaccination dan yang terbaru hari tu isu selfie sambil breastfeeding. Dua isu yang pertama tu sudah pernah saya kupas dengan panjang berjela di status-satus saya. Pasal isu penyusuan di khalayak (nursing in public – NIP) pun pernah saya kupaskan dalam salah sebuah entri saya. Dalam entri itu sudahpun saya kupas sekali bahawa kalau NIP tapi tujuannya nak menunjuk-nunjuk dan siap ambil selfie segala bagai dan dikongsi secara umum, itu memang haram. Orang ambilkan gambar kita menyusu lepas tu hantar gambar tu masuk pertanding bagai pun adalah haram. Breastfeeding moment katanya. Ada yang sudah elok menyusunya di dalam rumah, di dalam kereta, tapi pergi selfie dan dimuat naik di media sosial. Itu memang salah. Yang haram tetap haram. Tetapi yang menegur hari tu, si Meran Fans dan ramai yang lain, pun tetap salah. Bahasa terlalu biadap dan mengaibkan lagi ibu-ibu yang terlibat. Semoga ramai yang mendapat iktibar tentang hal yang berlaku hari itu.

Memandangkan ada beberapa penulisan saya hanya dimuat naik di Facebook, saya berniat untuk mengumpulkan semula status-status saya di blog ini. Kiranya macam throwback lah. Haha. Untuk rujukan dan kenangan di kemudian hari. Bermula dari entri yang seterusnya selepas ini, yang saya letakkan #koleksistatussarah, itu bermaksud ia pernah dimuat naik sebelum ini sama ada di Facebook mahupun di Instagram saya ya. Unless stated otherwise. Cewah!

:smile:

Nota: Haish. Ada beberapa coding yang dah tak berfungsi. Nampak sangat blog ni perlukan rebranding process. Dah 7 tahun tak pernah bertukar apa-apa. Huhu.

Posted on January 17th, 2016 by Sarah  |  No Comments »