Moscow Tetap Di Hati

Assalamualaikum wbt

Hari ini hati sangat merindui kehidupan di Moscow dulu. Tidak dapat tidak, saya membelek-belek album lama dan gambar-gambar yang ditag oleh kawan-kawan di Facebook. Rindunya pada Moscow, dunianya dan kawan-kawan. Terutamanya ahli rumah saya dulu. KS rindu sangat pada kamu semua!

mos7

Ini waktu di tahun dua. Kami singgah di zoo sebelah kelas kami.

mos6

Ini pula di tahun empat. Posting Obstetric di Kashirskaya.

mos9

Ini ketika bermain-main di atas tasik beku berhampiran dengan hostel.

mos2

Ketika berjalan-jalan dengan emak dan ayah Aizat di Kremlin.

mos1

Ini di dalam Kremlin ketika menyaksikan perarakan sejarah.

mos10

Ini pasukan Pingpong saya untuk tahun 2009. The best!

mos3

Ini Auyun dan Faiz. Dah kahwin dah mereka berdua baru-baru ni.

mos4

Ini sebahagian kawan-kawan se-batch. Waktu ini kami baru selesai bermain tuju selipar beramai-ramai beberapa hari sebelum balik ke Malaysia for good.

mos5

Juga bersama mereka. Waktu ini baru saja habis hari pertama final exam.

mos8

Bersama sebahagian daripada groupmates saya ketika di rumah pegawai JPA di Moscow. Sekarang ni, Thines pun bekerja di hospital yang sama dengan saya.

mos11

Ini antara budak perempuan Melayu se-batch dengan saya. Ehem. Kecuali Che Nab tu yang tiba-tiba je termasuk sekali. Huhu. Cantik-cantik kan kawan-kawan saya ni.

mos12

Ini siapa? Ini Pena!!! Budak yang paling saya rapat di bilik. KS rindu kamu banyak sangat!

mos13

Inilah angels of my heart sepanjang berada di sana. Tanpa ahli rumah saya, saya rasa hidup saya kosong dan tidak ceria. Sumpah!

mos14

Kami suka ke rumah Kak Zah. Kak Zah baru-baru ini pun sudah pulang ke Malaysia. Agaknya, dengan siapalah budak-budak ni nak bermanja-manja lepas ni ya.

mos18

Ini ketika tahun baru 2009. Kami pergi meluncur di Taman Tema Gorky Park. Luas Ya Rabbi tempat ni. Semput nak habiskan satu pusingan.

mos17

Rumah Hansel and Gratel yang menjadi tempat saya duduk berteleku di hadapannya sambil menyiapkan beberapa buah sajak. Inilah tempatnya! The St. Basil Cathedral.

mos16

Ini ketika kemuncak musim sejuk tahun lalu. Di pertengahan Januari.

Rindunya…

Nota: Jiran bawah bukit belakang rumah saya akan mendirikan rumah tangga. Emak dan Kaklong sibuk di sana. Saya balik kerja tiada orang di rumah. Bosannya. Itu yang buat hati ni jadi semakin rindu pada kawan-kawan dan kenangan di Moscow.

Posted on December 18th, 2009 by Sarah  |  16 Comments »

Ya Allah, Permudahkanlah Jodoh Kami!

Assalamualaikum wbt

Tahun 2009 ini umur saya sudah pun 24 tahun. Tapi sejak mula mencecah 24, sedikit pun saya tidak ambil pusing sangat soal-soal berteman, nikah kahwin apatah lagi beranak pinak. Tambahan pula saya lahir di awal tahun. Fokus kita semua sudah semestinya adalah untuk menyempurnakan azam kita untuk tahun itu dulu. Jadi, soal-soal peribadi ini memang tidak termasuk langsung dalam agenda utama.

Sehinggalah tadi, saya berbual lama dengan Wahida, satu-satunya kawan yang saya ada di Temerloh ini. Panas cuping telinga saya rasakan dan lenguh rahang ni asyik terkekek-kekek dengannya. Oh ya. Pejam celik, pejam celik, sudah 11 tahun saya berkawan dengannya. Banyak kejadian aneh, ceria, suka dan tawa kami lalui bersama. Yang duka-duka mana? Oh. Kami tak layan yang sedih-sedih ni. Kami buang jauh-jauh. Hidup mesti ceria. Itu tagline kami suatu masa dulu.

Wida: Eh, macam mana ni Sarah. Orang lain baya-baya kita ni dah kawin dah. Yang kita ni tercongok la macam ni lagi.

Sarah: Nak buat macam mana. Bukannya kita ni jumpa orang pun. Hari-hari hidup ulang-alik buat benda yang sama je.

Wida: Haaa. Tu la pasalnya. Saya ni pergi kerja, kat ofis semuanya Cina je. Petang balik kerja, terus balik rumah. Mana nak jumpa orangnya.

Sarah: Yang saya ni, haram nampak muka orang lain pun. Terperuk kat rumah je. Jumpa orang dalam internet ada la.

Wida: Kita kena berusaha ni Sarah. Jodoh ni pun kita kena usaha cari, kan. Mana boleh tunggu datang bergolek je.

Sarah: Haa. Awak ingat Zaiti? Dia dah kawin tahun lepas. Saya pergi kenduri dia sebab kebetulan saya balik waktu tu. Sharifah Faizah pun ada datang waktu tu. Nabila adik kat Nasuha pun dah kawin. Grand je majlis dia weh.

Wida: Haaaa. Yeke… Waaa… Kawin dah diorang yek. Bell tu tak sangka sungguh dah kawin. Nampak gaya macam brutal. Awal pulak kawinnya yek.

Sarah: Azhari Razzli ingat tak? Yang Jana selalu kutuk-kutuk dia dulu dalam kelas. Dia pun dah kawin dah Jun lepas. Zaidi kelas kita tu yang bagitau saya baru-baru ni kat Facebook.

Wida: Waaaa. Azhari pun dah kawin dah! Ni tak boleh jadi ni. Dulu diam je dalam kelas. Tengok-tengok yang paling diam tu la yang kawin dulu. Apa kes ni Sarah. Hahaha.

Sarah: Hari tu kat Pasar Ramadhan, saya terserempak dengah Fadilah Norin dengan Taufek. Mentang-mentang dah kawin kan. Jalan pimpin tangan tak lepas-lepas. Hahaha.

Wida: Yang ni lagilah saya terkejut tau. Tak tahu apa-apa pun yang diorang nak kawin hari tu. Tau-tau je dah selamat dah. Aduhai. Apa kita nak buat ni Sarah. Umur dah makin naik ni. Sekarang ni saya nak berusaha la. Berusaha meminta tolong kawan mengusahakan caranya. Hahaha.

Sarah: Ceh. Ingatkan apa tadi. Entah la Wida. Tak reti la nak cakap pasal ni. Saya tak nampak masa depan lagi dalam bab ni. Kadang-kadang saya rasa saya ni tak layak nak bahagia.Pasrah je bunyinya kan. Hahaha.

Wida: Alaaa. Kenapa pulak macam tu? Kalau awak fikir macam tu, sama la jugak macam saya ni.

Sarah: Entah. Tak reti nak kata. Bila kita ada suka orang, tunggu orang, orang tu pulak tak suka kita. Payah la. Tapi bila kita tak nak, tak ready lagi waktu tengah belajar dulu, ramai la pulak yang menjelma.

Wida: Eh eh. Macam sama la pulak. Apa kata kita memasrahkan diri je la. Umur 28 nanti kalau takde jugak baru kita berusaha keras. Sekarang ni pasrah je la. Tapi tu la kan. Kita yang belajar tinggi-tinggi ni, payah betul nak jumpa jodoh. Yang tak habis belajar tu atau tak sambung belajar langsung tu, cepat pulak bertemu jodohnya. Apa lelaki sekarang ni tak nak perempuan yang educated ke? Diorang tak nak ke ada anak-anak yang lahir dari emak-emak yang berilmu?

Sarah: Tak reti nak komen pasal ni, Wida. Apa awak nak saya tolong ke? Hehe.

Wida: Ececece. Awak pulak nak saya tolong tak?

Sarah: Tolong doa sudah. Hahaha.

Saya pun rasa perbualan malam ini banyak benarnya. Di saat sibuk mengejar kejayaan peribadi dalam pelajaran dan kerjaya, saya rasa saya terlepas pandang akan hal yang satu ini.

Mungkin, saya patut belajar memberi dan menerima sekali lagi. Moga-moga Allah perkenankan doa saya, Wahida dan rakan-rakan yang seperti kami ini.  Saya yakin, ramai yang berada dalam situasi yang sama seperti kami berdua ini. Jadi, tak salah kita berdoa, kan? 😉

Nota 1: Kami berempat berkawan baik dari tingkatan 1 hingga 3. Saya, Wahida, Fauzana dan Rabiul. Tapi hari ini, hanya saya dan Wahida yang masih berhubungan sesama kami. Wahida merupakan teman semeja saya selama tiga tahun. Sekarang dia merupakan seorang Junior Accountant di Temerloh ini.

Nota 2: Dah lama tak menulis entri begini. Melankolika hati dan jiwa. Dah habis belajar ni kira aci lah ye nak menulis pasal ni.

Posted on September 8th, 2009 by Sarah  |  68 Comments »

Dari Mata Di Sebalik Rak

Assalamualaikum wbt

Tiba-tiba saya berperasaan hendak menulis dengan panjang lebar. Sudah lama saya meninggalkan aktiviti menulis sehingga letih jari dan jenuh orang hendak membacanya. Kali ini pun kisah benar. Kalau hari itu ditakdirkan saya dapat mengisahkan semula kisah anak muda yang gigih, kali ini lain pula versi yang terjadi. Manis atau tidak, anda tentukan. Cewah! Eh, tidaklah. Ini kisah harmoni hidup bermasyarakat yang terjadi dalam kehidupan seorang penulis blog. Fuh. Penulis blog ni bunyinya macam satu profesyen pula. Padahal satu sen pun saya tidak dapat dengan menulis blog ini. Ayat sadis seorang penganggur terhormat. =___=

Pada hari Jumaat minggu lepas, saya membawa Tok saya ke pasaraya untuk membeli sedikit barang. Kebetulan sebelum itu, saya ada temujanji dengan Fizi, groupmate saya selama enam tahun di Moscow dulu, yang kebetulan berada di Temerloh pada waktu itu. Saya berjanji hendak membawanya pergi sarapan nasi lemak panas. Jadi, saya membawa Tok saya sekali kerana Tok saya terus hendak membeli barangnya selepas itu. Kebetulan, saya juga hendak ke pasar membeli barang-barang basah yang dipesan oleh emak. Selesai di pasar, baru saya berpatah balik ke Pasaraya KS (tak tipu, nama supermarket tu KS, sama dengan nama timangan saya di Moscow!). Oh ya. Kehidupan seorang penulis blog adalah normal dan waras seperti orang biasa. Itu sebab penulis blog juga ada masa hendak keluar pergi makan dengan kawan (padahal bila kawan tu tiada, blog sajalah yang dia hadap), masuk pasar macam makcik-makcik dan pergi pasaraya membawa Toknya mencari barang-barang. =___=

Saya mengikut Tok ke bahagian tepung-tepung di sudut belakang sana. Tok sedang membelek-belek barang yang hendak dibelinya. Saya pula ke bahagian rak yang menempatkan tepung kastard, serbuk kari, serbuk cili dan yang seumpama dengannya. Kata Tok, dia tidak berhajat untuk berada lama di situ. Jadi, saya membiarkan Tok memilih apa yang hendak dibelinya.

Di rak barang itu, saya terasa seperti diperhatikan dari sebelah sana rak itu. Bukan CCTV. Tapi ada sepasang mata yang memerhati. Kali pertama saya buat biasa saja. Mungkin kebetulan pelanggan itu turut mengangkat kepalanya memandang ke arah pelanggan di sebelah sana rak juga. Saya menunduk mahu melihat paket agar-agar di situ. Apabila saya tegak kembali, saya nampak wajah pemilik mata itu tadi dan dia masih memandang ke arah saya. Saya jadi segan kerana sudah dua kali saya mencuri pandang semula ke arahnya dan pada masa itu si pemilik mata kebetulan memang sedang melihat ke arah saya. Saya menuju ke arah Tok. Saya bawakan barang-barang Tok dan terus ke tempat minuman. Kelibat pemilik mata tadi pun hilang begitu saja.

Sesudah Tok memilih sekotak susu segar, kami menuju ke kaunter. Elok saja selesai membayar, sedang kami menuju ke pintu keluar, tiba-tiba saya disapa. “Ini Sarah kan?” Saya kaget sekejap di situ. Yang menegur itu ialah si pemilik mata tadi. Dia tersenyum saja. Ada sebuah beg plastik di tangan kirinya. Saya tidak menjawab sebaliknya membalas soalannya tadi dengan sebuah pandangan yang penuh persoalan. Eh, iyalah. Saya tidak mengenali orang itu. Takkan sewenang-wenangnya saya hendak mengaku siapa saya.

Lalu si pemilik mata meneruskan ayatnya. “Saya baca blog Sarah.” Dan selepas itu dia ketawa kecil. “Oh! Baca blog. Ok ok.” Itu saja respon saya atas intro yang diberikannya itu dengan sengihan kecil. Saya segan sebenarnya untuk terus berada di hadapan orang itu. Sebenarnya, seawal terpandangkan wajah pemilik mata yang saya ternampak di sebalik rak barang di belakang tadi, saya terasa seperti pernah melihat wajahnya. Di mana, itu yang saya tidak pasti. Ketika itu saya sudah memegang kunci kereta. Tok sudah mendahului saya sedikit menuju ke arah kereta.

Lalu saya terus berkata, “Saya kerna pergi dulu ni. Nak hantar Tok balik dah ni.” Dan dia pun terus memberikan saya laluan dan hanya menyebut “Ye, silakan. Silakan. Setakat itulah saja kisahnya saya dengan orang itu.

Di dalam kereta, saya ligat berfikir. Di mana saya pernah bertemu dengannya. Mukanya seperti pernah saya lihat sebelum ini. Terutama matanya. Tapi saya tidak ingat juga. Sudah hampir mendekati Kampung Tengah dalam perjalanan hendak balik ke rumah, baru saya dapat mengecam wajah itu. “Haaaaa! Patutlah macam pernah nampak! Muka dia macam Akif!”

Masih ingat tak suatu masa dulu, sekitar Mac dan April, saya sangat menggilai drama bersiri Dari Mata Arissa. Watak heronya bernama Akif Zamani yang sering saya sebut-sebutkan di sini. Watak Akif adalah lakonan Syed Aiman atau nama betulnya Syed Kamarulzaman. Ya. Wajah si pemilik mata tadi sangat mirip dengan Syed Aiman itu. Memang mirip sungguh.

Berhemah orangnya pembaca blog saya yang seorang ini ya. Bila difikir-fikir, aduhai, macam saya melihat Akif Zamani di depan mata pula. Dia pun kelihatannya sedang mengejar masa ketika itu. Sebaik saya laju menuju ke kereta, saya lihat dia juga laju menuju ke keretanya yang diparkir betul-betul di pintu masuk pasaraya itu.

Jadi, buat kawan-kawan yang ada terlihatkan status bernama Syed di Facebook saya tu, jangan macam-macam ya. Itu hanya sempena mengingati insiden ini dan pelakon Syed Aiman ini. Nama pemilik mata itu pula? Ahaa. Itu yang kita tidak tahu sehingga ke hari ini.

Terima kasih ya sebab menegur si penulis blog ini pada hari itu. Saya ingatkan, apalah yang dipandang-pandang dari celah rak itu. Selagi tidak tahu nama, saya namakan kamu sebagai Syed sajalah ya.

Ya. Bila sudah namapun bekerja tanpa gaji sebagai penulis blog peribadi dan pada masa yang sama menjalani kehidupan yang normal dan waras sebagai orang biasa, janganlah buat muka batu pula bila ada yang mengenali anda di luar sana. Biasakan amalan harmoni hidup bermasyarakat. Beramah mesra asas kekuatan semangat kejiranan dan mengukuhkan kerukunan. Ewah. Pesanan khidmat masyarakat ini dibawakan khas secara percuma di Dunia Sarah. (menangis air mata darah sekalipun kau takkan dapat komisyen, Sarah!) T__T

Nota 1: Baik Syed Aiman ataupun Akif Zamani, mereka ini adalah suami orang. Hati-hati bila menyebutnya. Tak pasal-pasal nanti diserang isteri mereka pula. Huhu. 😆

Nota 2: Tajuk tak menahan betullah budak Sarah ni. Sekali baca macam seram je ceritanya. :mrgreen:

Nota 3: Saya rasa saya tahu kamu kerja di mana. 😉

Nota 4: Tunggu entri tawaran istimewa yang akan menyusul sekejap nanti!

Posted on August 19th, 2009 by Sarah  |  6 Comments »

Kenduri-kendara

Assalamualaikum wbt

Sabtu minggu lepas, saya ke kenduri kahwin seorang penduduk kampung saya ini. Pusing-pusing, kait-kait, ini juga saudara mara kami. Waktu di kenduri itu, ada dua perkara berlaku. Pertama, saya rasa asing sungguh dengan muka-muka yang saya jumpa. Anak-anak muda yang sekitar umur saya semuanya hampir tidak saya kenali. Semuanya sudah berubah. Keduanya, ramai yang saya jumpa di kenduri itu. Saya jumpa Abang Jamil dan keluarganya. Mereka ini pembaca blog ini. Tak sangka sungguh boleh bertemu di kenduri itu. Saya sudah mengenali Abang Jamil dan keluarga sejak kecil lagi.

Saya juga bertemu dengan cikgu tadika saya dulu, Cikgu Izumi. Cikgu Izu masih sama seperti dulu. Rumah cikgu tidak jauh dari rumah saya. Di bawah bukit belakang rumah saya saja. Raya nanti boleh berjumpa lagi. Eceh. Dah sebut pasal raya pula. Ramadhan pun belum lagi. Aishh tak sabarnya nak tunggu Ramadhan. Puasa di Malaysia saya tahun ni. Haha. Jauhnya saya lari topik ni. Saya juga bertemu dengan Ustazah Zaidah, ustazah saya ketika di SMA Al-Khairiah. Tak sangka ustazah masih mengenali saya.

Kebetulan pada hari itu internet down sepanjang hari sehingga Maghrib. Disebabkan itu saya keluar mengikut emak saya ke bandar untuk mencari barang. Sumpah emak saya sangat hebat tawar menawar ketika membeli barang. Barang yang hampir Rm2000 pun boleh jadi murah sehingga RM1300 saja. Tabik hormat sungguhlah kepada emak. Hidayah sepupu saya pun ikut sekali. Sampaikan dia berkata begini: Bankrup Cina tu kalau semua pelanggan dia macam Mak Ngah. Hahaha. Ini ilmu ni. Kena belajar dengan emak. Ilmu emak-emak untuk hidup di hari muka. Hehe.

DSC_0216

Sabtu baru-baru ini pula, saya menghadiri walimah Kak Nurul Haida Mohd Salleh dan suaminya Muhammad Syairuz Zamri. Tepatnya, Kak Haida ini ialah rakan sekelas kakak saya sejak darjah satu dan masih rapat sehingga kini. Kakak saya tidak dapat pulang dari Sarawak. Jadi, saya dan adik saya mewakili kami sekeluarga ke sana. Ramai betul kawan-kawan lama yang saya jumpa. Termasuklah juga ustaz ustazah zaman sekolah rendah dulu.

DSC_0208

DSC_0176

Yang paling utama, saya bertemu dengan Ustaz Aris dan Ustazah Hamdah. Mereka merupakan antara tenaga pengajar pelopor di Pusat Pengajian Al-Mukmin. Kini mereka tidak lagi mengajar di sana. Ustaz Aris kini berkhidmat sebagai Qadhi. Saya juga bertemu dengan Ustaz Osman dan Ustazah Zainab. Mereka berdua masih bertugas di Pusat Pengajian Al-Mukmin sehingga kini.

DSC_0233

DSC_0240

Antara kawan-kawan lama yang saya temui termasuklah Kak Nawwar, Kak Fisha, Kak Husna, Aainaa, Farah, Herman, Ikmal Azwar, Erry Shahriman, Shahrizat, Shubhi Asyir, Ikhwan Hafiz, Chot, Salehuddin dan Fadhlillah. Yang paling tak tahannya, bila kisah cinta monyet zaman sekolah dulu diungkit-ungkit sampai panas muka, telinga, tekak! Eh… Cinta monyetkah? Tak juga rasanya. Dah waras dah rasanya waktu tu. Huhu. Yang pasti, saya bersyukur melihat kawan-kawan semuanya sudah berjaya dalam bidang masing-masing dan ada yang sudahpun mendirikan rumah tangga.

Nota 1: Bila sebut berulang kali, sedap-sedap juga ya nama-nama kawan lama saya ni (mereka ni majoritinya satu batch dengan Kaklong). Boleh pilih buat nama anak ni nanti. Bagus-bagus maksudnya. Kan kan kan. 😀

Nota 2: Punyalah hot kisah cinta zaman sekolah dulu-dulu. Sampai sekarang semua orang masih ingat. Nyampah ah. Kah kah kah. 😆

Posted on July 28th, 2009 by Sarah  |  19 Comments »

Hari Terakhir Di Moscow

Assalamualaikum wbt

Duduk seorang diri di rumah ni buat saya rasa mati kutu. Hendak keluar, saya masih belum menghidupkan semula lesen memandu saya. Hendak membaca novel, saya rasa bilik ini masih serabut. Tak sesuai untuk duduk bersenang lenang membaca novel.  Hendak makan, ada lauk ayam pula. Saya sudah jadi kurang gemar dengan ayam. Setahun di Moscow, ayam saja yang dimakan. Balik rumah, saya mesti hendak makan ikan pula. Tapi adik-adik tidak makan ikan pula. Aduhai.

Saya mahu letak gambar sajalah untuk kali ini. Ini ketika dalam perjalanan balik ke Malaysia Sabtu dan Ahad lalu. Pagi Sabtu itu, Auntie Zah menjamu kami pelajar-pelajar JPA yang bertujuh ini di rumahnya. Kemudian di Domodedovo Airport, Kak Zah pula membelanja kami bertujuh minum di Coffee House. Kak Zah dan Auntie Zah sangat baik. Sebelum berpisah dengan mereka pun, mereka menangis. Sedihnya.

DSC_0007

Banyak hidangan yang Auntie Zah sediakan. Katanya, dia hendak bagi kami semua kenyang dulu sebelum berlepas. Kebetulan ada Auntie Bie dan anaknya, Amir, sekali. Lama juga kami di sana sebelum bertolak ke Domodedovo Airport.

DSC_0012

Sebelum masuk ke van, kami semua bergambar kenangan buat kali terakhir di depan Kedutaan Besar Malaysia di Moscow. Dan kemudian bersalaman tanda perpisahan antara kami semua dengan Auntie Zah dan Auntie Bie. Kak Zah pula menghantar kami hingga ke lapangan terbang.

DSC_0022

Inilah Kak Zah. Kak Zah merupakan Pengarah Tourism Malaysia di Moscow. Dialah bos pertama saya. Saya pernah bekerja dengannya sebagai translator dan tourist guide ketika di tahun empat dulu. Banyak benda baru yang saya belajar daripadanya. Juga tentang etika dan semangat bekerja bersungguh-sungguh. Saya juga belajar menjadi perfectionist daripadanya.

DSC_0058

Dan sebaik sampai di KLIA, keluarga saya sudahpun menunggu. Ok. Saya tidak boleh menerima kenyataan adik saya yang darjah lima tu, Aiman, sudah sama tinggi dengan saya! Tapi yang seronoknya, saya ada ramai bodyguard sekarang ni. Dalam perjalanan balik, kami singgah solat di BP Gombak (highway). Tandasnya jauh ke belakang. Saya ditemani oleh tiga orang askar hanya kerana tandas itu tersorok dan mereka risau apa-apa terjadi pada kakaknya yang seorang ini. :mrgreen:

Nota: Mendung betul hari ni. Mata pun rasa mengantuk.

Posted on July 16th, 2009 by Sarah  |  31 Comments »