Author Archive

Izz Zayd Mishary : Motivasi Penghijrahan Mama

Assalamualaikum wbt

25 April dua tahun yang lalu adalah hari terakhir mama intubate patient, bagi spinal, epidural, buat block, CSE, handle complicated case, semuanya dalam satu hari. Memang macam-macam yang terjadi pada hari itu. Walaupun mama tidak oncall, tapi mama balik rumah ditemani Zayd yang masih dalam kandungan tepat pada pukul 10 malam. Rupanya ada sebab kenapa Allah susun begitu. Allah nak bagi mama merasa kesemua prosedur ini secara all in one day buat kali terakhirnya.

Ya, kali terakhir. Rutin harian mama dalam Anaesthesiology berakhir pada hari itu. Mama tak menyangka itulah hari terakhir mama praktis di OT/ICU sebab mama juga tak menyangka keesokannya itu mama dikejarkan ke Hospital Temerloh dengan ambulan kerana adanya komplikasi. Dan selepas daripada komplikasi itu, mama diberikan MC sehingga bersalin. Dan sebelum bersalin, mama terima surat memberitahu pertukaran mama telah diluluskan dan destinasinya ialah ke Ibu Pejabat KKM di Putrajaya. Segala kenangan mama bersama segala perit-jerih belajar untuk menjadi seorang pakar bius berakhir di situ, pada tanggal 25 April 2014.

Mama cuba mencari hikmah dan bersangka baik dengan Allah. Semestinya Allah telah aturkan yang terbaik untuk kita sekeluarga. Perkara yang memberikan semangat dan menjadi motivasi mama untuk menerima perpindahan itu adalah keluarga kita terutamanya anak-anak mama. Setelah sekian lama menanti untuk dapat bertukar dan tinggal sebumbung sekeluarga, akhirnya Allah makbulkan. Kenapa mama tidak bersyukur pula, kan? Acapkali mama menangis memikirkan kenapa Allah twist jalan cerita hidup mama. Tapi Alhamdulillah, hati mama ini diberatkan dengan perasaan syukur yang jauh lebih banyak. Allah itu Maha Tahu apa akan terjadi seterusnya.

Ditakdirkan, ayah sangat sibuk selepas tamat master. Terlalu kerap outstation ke luar negara dan tidak mempunyai masa yang fleksibel. Nah, di situ hikmahnya. Hikmah yang maha besar Allah telah aturkan untuk kita sekeluarga. Agar mama dapat menjadi pendamping yang sentiasa ada untuk anak-anak berdua.

Tatkala Zayd lahir, mama nekad, penghijrahan ini mesti diteruskan. Demi keluarga kita, bukan atas sebab yang lainnya.

7 Mei, genap 2 tahun nekad itu dicekalkan di hati. Pada tanggal ini dua tahun yang lalu, Izz Zayd Mishary dilahirkan dan mama nekad sepenuh hati untuk menjadi yang berkorban demi keluarga. Mama nekad untuk ketepikan cita-cita demi anak-anak mama. Sebab itu mama sedih bila ada masanya mama rasakan matlamat penghijrahan ini menyeksa mama semula kerana kehidupan mama sangat sibuk (sangat yang teramat sangat) dan tanggungjawab jauh lebih besar apabila sudah berpindah ke tempat baru. Mama rasa seperti telah memungkiri janji untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Dan perasaan itu sangat menyusahkan jiwa.

Zayd, hari ini genap umur Zayd 2 tahun. Terlalu baik Allah itu menjadikan Zayd ini anak yang sangat mudah diurus. Paling mama akan ingat selamanya, Zayd jenis tak bangun malam untuk menyusu apatah lagi nak bergayut sepanjang malam. Ini memang paling membezakan Zayd dan Abang Izz. Zayd juga pada umur ini, lebih petah, aktif dan bijaknya juga lebih lain macam. Anugerah betul si Zayd ini. Kuat merajuk pun iya. Tapi sumpah, walaupun mama sedih terpaksa meninggalkan bidang yang sangat mama minati, mama tak pernah menyesal membuat penghijrahan ini. Demi ayah, demi anak-anak mama. Semoga pengorbanan ini menjadi asbab pahala untuk mama. Dan semoga Zayd sentiasa ingat, Zaydlah motivasi mama untuk meneruskan langkah pertama menerima penghijrahan ini dengan hati terbuka suatu masa dahulu.

Selamat ulangtahun yang kedua, Izz Zayd Mishary. Kamu itu anugerah penuh hikmah, buat seluruh kehidupan Abang Izz, mama dan ayah. Teruslah membesar menjadi anak soleh yang sihat, bijak dan sentiasa membahagiakan orang lain. Penting mama tekankan untuk menjadi asbab bahagia kepada orang lain. Kerana dengan membuat orang lain senang dan bahagia kerana kita, pahala juga akan masuk mencurah-curah menjadi saham syurga yang paling mudah untuk kita ke sana.

Membesarlah menjadi anak yang bahagia lagi membahagiakan dalam kasih sayang mama, ayah dan Allah!

Salam sayang,

Mama.

Nota: Tunggu ayah balik dari outstation baru kita makan besar ye, Zayd. Muaaah

Posted on May 7th, 2016 by Sarah  |  6 Comments »

Lima Tahun Yang Mendewasakan

Assalamualaikum wbt

Tiba-tiba terasa nak menulis. Sebenarnya setiap malam pun terasa nak update blog. Tetapi memang flat. Penat. Totally exhausted. Jadi, hasrat memang tinggal hasrat sajalah. Kenapa penat?

Sebab saban hari memang penat berulang-alik ke KL atau lokasi-lokasi tapak projek yang saya kendalikan. Macam sekarang ni. Saya menjaga dua buah negeri. Selangor dan Melaka. Kalau mesyuarat atau interaction bersama pihak JKR dan para konsultan projek dijalankan di sebelah pagi, memang bergegaslah saya meredah jam di pagi hari untuk ke Ibu Pejabat JKR di Jalan Sultan Salahuddin. Jika mesyuarat hanya separuh hari, saya akan balik pula ke pejabat di sebelah tengahari untuk menyudahkan kerja-kerja lain di pejabat. Kalau sepanjang hari mesyuaratnya, jadi sebelah petang saya akan meredah jam lagi untuk pulang ke rumah. Ulang-alik antara KKM Putrajaya atau rumah ke JKR adalah sejauh 80 km okay.

Dan cara saya, kalau ada memo atau surat yang perlu saya selesaikan tindakannya, saya tak akan bertangguh. Hari tu dapat surat, hari tu juga saya selesaikan. Paling-paling pun esoknya tu mesti dah keluar semula maklumbalas atau tindakan dari saya. No way saya akan simpan berkepam untuk tindakan kemudian.

Tapi walau seserius-serius saya dengan kerja saya ni, saya masih ada balanced life di sini. Huhu. Ni kalau kawan-kawan ofis baca entri ni mesti ada yang gelak. Haha. Maklumlah. Sekarang ni ada blog reader saya bekerja satu pejabat dengan saya. Hahaha. Kecil je dunia. Chill chill. Saya ni orang biasa je. Bukan artis pun. Hahaha. Saya ni mak-mak sikit. Kalau bercerita dengan kawan-kawan ofis, tak lekang mesti ada kisah anak-anak. Ye la. Nak cerita pasal handphone baru ke, barang kemas ke, saya not into benda-benda tu. Ha gitu. Jadi ceritalah pasal anak, takpun pasal bekal makanan apa dan yang seangkatan dengannya. Membosankan, kan? Mak-mak sangat. Huhuhu.

Berbalik tentang kerja tadi. Kenapa penat tu macam teramat sangat gayanya tu? Ya. Penat sebab bukan setakat hectic life sebagai seorang doctor on the go ni. Tapi kerana hampir sebahagian besar masa saya yang uruskan anak-anak dan keluarga. Sebab suami saya banyak outstation ke sekitar Asia Tenggara ni. Tinggallah daku sendirian, terkapai-kapai di awanan. Ewah. Jadi disebabkan itu, hari saya memang penuh dari awal pagi sehinggalah ke tengah malam.

Bangun pukul 5.30 pagi. Terus ke dapur untuk menyiapkan bekal untuk hari itu. Lauk atau makanan yang dimasak itu cukup untuk saya anak beranak makan tengahari dan juga malam. Sambil-sambil masak, saya mengemas dapur dan basuh botol-botol anak.  Dapur memang kena tiptop. Sebab di situ titik tengah tenaga saya. Kalau saya masuk dapur dan keadaan tak kemas, saya boleh bad mood. Huhu. Nak tak nak, dapur memang sentiasa kemas dan teratur. Ha gitu. Dan saya syaratkan diri saya bahawa saya tidak akan berada lebih daripada 40 minit di dapur. Ini termasuk dari memulakan persiapan memasak sehinggalah siap dapur dikemas dan bekal makanan disiapkan. Sebab saya ada benda lain yang nak dibuat. Biasanya setengah jam je di dapur. Lepas tu boleh siapkan baju untuk kerja. Kalau suami ada, dia yang tolong gosok baju. Saya akan kemas rumah dan pastikan rumah pun kena tiptop di saat ditinggalkan dan bila balik nanti, buka saja pintu rumah, teratur dan wangi je bau rumah. Ha. Itulah saya dan kepala otak saya yang susah nak terima keserabutan. Nak reset balik otak ni dah susah dah. Nak dapatkan keadaan yang perfect ni memang boleh. Tapi sendirilah yang akan penat sebab nakkan yang paling sempurna. Tak apa. Saya sanggup. Saya suka.

Ada sebab kenapa saya sangat menitikberatkan tentang kebersihan dan kekemasan ni. Pertamanya saya nak wujudkan suasana yang kondusif untuk kami sekeluarga. Saya tahu betapa serabutnya kepala terutama suami kita kalau balik-balik saja tengok rumah tunggang-langgang ke apa kan. Keduanya kerana Izz ada eczema. Mild sahaja. Tapi habuklah yang boleh trigger flare eczema itu. Jadi saya memang tak bagi rumah berhabuk. Memang tak suka dan tak benarkan ianya terjadi. Haha. Ketiganya kerana, err, bukankah hidup kita juga lebih tenang kalau keadaan sekeliling kita bersih dan teratur? Dah macam karangan tentang “Kebersihan Itu Sebahagian Daripada Iman” je dah. Kekekeke.

Lagi, kenapa saya penat? Sebab selepas jemput saja anak-anak, jadual saya penuh dengan mereka sahaja. Dari bermain dan beraktiviti dengan mereka, sehinggalah menyuap makan, memandikan, memantau mereka solat, mengajar mengaji, tasmi’ surah hafazan, mengajar membaca dan membuat Matematik, membacakan buku cerita sehinggalah menidurkan mereka. Kalau orang kata stay at home mother boleh buat macam-macam dengan anak-anak mereka, saya yang bekerja ini buat juga semua itu dengan anak-anak saya. Tak ada alasan. Jadi don’t you ever dare membuat perbandingan tentang ibu yang bekerja dengan SAHM depan saya sebab saya akan pangkah sampai kau kalah. Faham apa tu pangkah? Sebab definisi seorang ibu itu, bagi saya, tak kiralah kau bekerja atau tak, memang kau ada never ending list yang perlu kau lakukan sebagai seorang ibu. Kalau kita surirumah sekalipun tapi tak buat pun segala aktiviti yang boleh dimanfaatkan oleh seorang SAHM, apa yang nak didabikkan sangat. Dan tak bermakna ibu yang bekerja tak boleh laksanakan kesemua tanggungjawabnya walaupun dia bekerja. Ingat. Jangan banding-bandingkan. Rezeki orang yang memang dapat duduk di rumah dah ditakdirkan sebegitu. Rezeki saya dan ramai ibu lain belum lagi tiba. Ha gitu. Ya saya garang dengan prinsip saya. Jadi jangan nak banding sangatlah ya. Reserve your comments, please. Haha.

Kembali ke pangkal  jalan. Ok kenapa lagi penat? Sebab lepas saja anak-anak ditidurkan, saya akan bangun menguruskan baju-baju pula. Saya akan kemas beg taska dan tadika anak-anak. Basuh dan lipat baju (kalau sempat) dan juga mengaji. Kenapa saya memilih untuk mengaji di tengah malam? Sebab kalau saya nak menangis dengan Allah sampai berhingus sekalipun, tak ada siapa yang kisah……. Hanya saya dan Allah.

Tetapi rutin ini semua akan berubah jika suami saya ada di rumah. Dulu saya stress, tertekan jiwa raga jika dia outstation. Sebab kerap sangat dan lama. Cross habis semua hari bekerja. Jadi penat saya adalah double daripada zaman oncall dulu-dulu kerana kerja saya bukan statik di hospital, tapi saya perlu travel, kerja di pejabat dan juga menguruskan segalanya di rumah. Bagi pasangan yang duduk berjauhan antara suami isteri mesti faham apa yang saya ceritakan ini.

Akan tetapi, semakin lama kami berkahwin, semakin saya menjadi selfless. Simply selfless. Saya meletakkan orang lain lebih dahulu dari diri saya. Suami dan anak-anak saya. Walau penat macam mana sekalipun, saya paksa diri saya untuk buat juga, untuk siapkan juga apa yang perlu saya buat, untuk lengkapkan jadual harian saya sebagaimana yang perlu saya lakukan untuk anak-anak. Dulu-dulu kalau suami outstation dan bila dia menelefon, saya mudah untuk bercerita tentang kepenatan. Tapi dengan berbuat begitu, saya hanya menyebabkan suami saya bersedih hati di sana kerana memikirkan saya yang kepenatan seorang diri. Sampai berjaga malam untuk buat kerja perancangan yang ada due for submission pula. Jadi, saya tahu ia tidak baik untuk hubungan kami. Ia menimbulkan rasa serba salah antara satu sama lain. Dia serba salah kerana terpaksa berjauhan atas tuntutan kerja. Saya pun serba salah sebab membebankan benak suami saya yang pastinya juga kepenatan di sana.

Jadi saya ubah perangai saya. Apabila suami saya menelefon, saya tak akan mengungkit lagi tentang penat. Saya simpan. Saya ceritakan perkembangan anak-anak kepadanya. Saya ceritakan insiden-insiden melucukan yang terjadi di rumah. Saya ceritakan kisah gelabah airbag warning saya menyala selepas menekan hon kereta dengan kuat sebab orang kereta depan tak gerakkan kereta kerana sibuk nak ambil gambar gerhana, saya ceritakan berapa bintang Izz dan Zayd dapat untuk hari itu untuk Star Chart for Good Deeds dia dan Zayd. Saya ceritakan tentang pokok bunga di luar rumah. Kami bercerita tentang apa sahaja tetapi tidak tentang kepenatan. We treasure each others’ presences on the phone by telling our happiness and achievements of the day. Sebab saya rasa, kami rasa, itu lebih membahagiakan.

After all, bila suami saya sudah balik, dia layan saya macam puteri. Cewaaaaah~ Sabtu Ahad boleh tutup dapur. Sakit-sakit badan, memang dia akan urut selalu. In fact, untuk setiap malam yang dia ada di rumah, dia akan megurut kaki saya sebelum tidur.

How can I not love him more and more?

Dan atas sebab-sebab ini jugalah, malam tadi, sewaktu menunggu suami tiba dari airport, saya terasa berdebar menanti dia sampai. Dan debarannya sama seperti menunggu hari nikah dahulu. Aura anniversary yang bakal tiba agaknya. Hihi.

Esok 12 Mac. Duhai suami, selamat ulangtahun ke-5 untuk kita. Terima kasih atas segala pengalaman yang mendewasakan sepanjang kita bersama. Terima kasih kerana sentiasa sabar dengan kerenah dan fe’el pelik-pelik isterimu ini. Dan terima kasih kerana sentiasa berbuat baik kepada ibu anak-anakmu ini. Semoga kita tidak pernah lokek untuk saling memahami dan bertoleransi dalam hidup ini. Juga tidak kedekut untuk terus mencintai.

Posted on March 11th, 2016 by Sarah  |  4 Comments »

Kisah Si Naga-Naga

Assalamualaikum wbt

12 November 2015

Dua minggu lepas, ketika kami sekeluarga dalam perjalanan menuju ke farmasi untuk membeli sesuatu, kami berselisih dengan sebuah kereta yang memandu dengan kelajuan sederhana. Ketika berselisih di jalanan, saya terlihat kelibat pemandunya seorang perempuan dan pada waktu itu turut kelihatan kepulan asap kecil-kecil keluar melalui tingkap keretanya. Hati saya terdetik, gayanya pemandu itu sedang merokok. Saya abaikan kerana kereta kami sudahpun jauh ke hadapan dan saya pula tidak betul-betul pasti sama ada benar atau tidak pemandu itu sedang merokok.

Sebaik tiba di lampu isyarat, ianya bertukar merah. Kami berhenti di hadapan sekali. Selang beberapa saat, kereta yang kami pintasi tadi berhenti di sebelah kiri kami. Saya memandang ke kiri dan melihat memang benar pemandunya seorang perempuan muda dan di tangan kirinya terdapat sebuah vape. Saya cepat-cepat mengalihkan pandangan supaya si pemandu tidak berfikir yang bukan-bukan seperti saya ini sedang menilai luarannya. Sebolehnya, saya tidak mahu dia rasa ‘offended‘ dengan apa yang saya lihat. Tetapi, tidak lama kemudian, Izz yang berada di carseat nya di tempat duduk belakang berkata, “Mama, orang tu merokok!”

Secara automatik, saya dan suami menoleh ke arah kereta di sebelah kami itu. Pada ketika itu, perempuan muda itu memang sedang menjeling tajam ke arah kami berdua. Dia seolah-oleh memberi isyarat badan yang membawa maksud “sila jaga tepi kain sendiri”. Saya bertanya kepada suami, para wanita yang merokok atau vaping ni tak merasa malukah kepada khalayak dan apakah diabaikan saja persepsi orang terhadap mereka. Pada ketika itu jugalah, sebaik terpandang semula muka pemandu tersebut, dengan matanya yang sengaja ditenungkan ke arah saya, dia menghembuskan asap vape berkepul-kepul ke udara melalui tingkap yang memang diturunkan sejak awal tadi.

Waktu itu saya tidak lagi memikirkan isu di manakah nilai malu pada diri mereka. Yang saya fikirkan pada waktu itu, mereka itu bukan wanita. Mereka adalah NAGA.

Sebab Izz selalu bercerita. “Mama, dragon can breath out fire and smoke”.

Ya Allah Ya Tuhanku, malu dan adab kat mana, dik?

:sad:

Arakian kisahnya Si Naga-Naga.

#koleksistatussarah

Posted on January 17th, 2016 by Sarah  |  1 Comment »

Pertama Kali : Hari Pelaporan Izz Zamani

Assalamualaikum wbt

26 November 2015

Bismillahirrahmanirrahim.

Seharian saya bermesyuarat di Ibu Pejabat JKR di Jalan Sultan Salahuddin. Saya cuba bergegas untuk menghadiri sesi pelaporan di sekolah Izz. Saya yang memohon untuk dapat hadir lebih awal sebelum hari pelaporan yang dijadualkan atas dua sebab. Pertama kerana memang kami tidak dapat datang pada hari yang dijadualkan kerana ada urusan lain. Keduanya kerana kami tidak mahu Izz dibiasakan dengan ‘report card day‘ yang tipikal. Kami memilih untuk Izz lalui fasa awal persekolahannya ini sebagai taman bermain dan menimba pengalaman. Bukan tempat untuk dibanding-bandingkan siapa terbaik dan siapa tercorot walaupun sekolahnya memang tidak menggunakan sistem tersebut.

Saya tiba di sekolahnya hampir ke pukul 5.30 petang dan Principal nya sudahpun menunggu. Saya dibawa masuk ke biliknya dan sesi penerangan prestasi secara one to one pun bermula. Saya dimaklumkan secara terperinci tentang pencapaiannya selama 7 bulan bersekolah di situ (masuk sejak April 2015). Secara keseluruhan, memang penekanan yang diberikan untuk anak-anak di situ adalah tentang adab, etika, ahlak dan kemahiran asas kehidupan kerana itulah yang menentukan keperibadian anak-anak dalam fasa membesar dan membina identiti. Alhamdulillah, daripada tiga tahap pemarkahan untuk proses evaluasi, Izz memperoleh markah tertinggi bagi setiap aspek sosio-emosinya. Alhamdulillah.

Bagi aspek akademik, sebenarnya saya dan suami memang tidak meletakkan apa-apa target untuk Izz. Dia bermula lewat berbanding rakan sekelasnya dan pencapai bagi aspek akademik juga bukanlah yang paling kami utamakan kerana target kami menyekolahkannya pada tahun ini supaya dia dapat bersosial, belajar membina keyakinan diri, kepimpinan sesama rakan sebaya, adab dan berdikari. Tambahan pula, silibus yang saya buat sendiri untuk sesi pembelajaran di rumah lebih berkonsepkan santai dan gembira. Sebab itu apabila Principal nya memaklumkan bahawa subjek Bahasa Melayu yang paling Izz kuasai dengan bagus manakala English, Sains dan Matematik berada di tahap sederhana, langsung saya tidak berasa gundah atau risau. Yang paling menggembirakan hati saya petang tadi ialah bilamana Principal nya memberitahu, dialah yang paling ‘champion‘ dalam bab hafazan dan bacaan Iqra’ kerana lebih jauh mendahului rakan sekelasnya yang lain.

Secara purata, daripada tiga tahap pemarkahan evaluasi, Izz mendapat tahap tertinggi. Alhamdulillah thummalhamdulillah.

Laporan tahunan Izz itu saya lipat dan simpan ke dalam beg sandang belakang yang dibawa. Izz langsung tidak melihatnya. Dan Izz juga tidak perlu tahu segala markah yang telah dicapainya. Apa yang Izz tahu, malam nanti selepas mengaji dia dapat berbuat sesuatu yang menarik seperti yang telah saya janjikan kepadanya. Saya juga sudah memberitahunya bahawa sudah ada kotak baru (guna semula kotak dakwat mesin pencetak di pejabat yang sudah dibuang, sebelum ini dia pernah membuat buaya kotak menggunakan kotak buangan yang saya kutip di pejabat) untuk dibuat mainan baru bersamanya pada hujung minggu ini.

Selesai solat Maghrib, saya menunjukkan laporan prestasi Izz kepada suami. Kami sama-sama nekad untuk menambah baik pendekatan kami terhadap Izz supaya anak itu dapat melalui fasa pembesaran yang hanya dipenuhi dengan kegembiraan.

Siapa kata nombor yang menentukan prestasi atau kualiti anak-anak. Bagi anak-anak, kualiti itu ialah apabila hidup mereka sentiasa dipenuhi dengan kegembiraan.

Kisah ini saya abadikan sempena kali pertama saya menghadiri Hari Pelaporan anak. Terasa emosi sikit. Sebak. Sebab anak dah besar. More to come after this, insya Allah.

Izz-mama

#koleksistatussarah

Posted on January 17th, 2016 by Sarah  |  No Comments »

Sunathon

Assalamualaikum wbt

29 November 2015

Semalam saya dapat turut serta dalam Program Khatan Perdana di Masjid Al-Islah, Telok Gong, Pelabuhan Klang, anjuran bersama Muslim Care Malaysia Society. 33 peserta berjaya dikhatankan, Alhamdulillah.

Terima kasih kepada semua yang telah membantu menyebarluaskan status saya semalam. Daripada hanya saya seorang doktor yang dapat hadir setakat hari semalam, hebahan melalui Facebook untuk perhatian rakan-rakan doktor yang lain turut serta telah mendapat perhatian bukan sahaja doktor muslim, tetapi juga di kalangan doktor berlainan bangsa dan agama. Alhamdulillah akhirnya ada 5 orang doktor yang dapat hadir sebagai sukarelawan dan 5 orang lagi MA dari KL. Kerana semangat kesukarelawanan kami berkumpul di sana. Alhamdulillah berjalan lancar. Yeay!

Ini gambar saya bersama peserta pertama untuk dikhatankan pagi tadi. Berani dan cool betul adik ni.

Sunathon

#koleksistatussarah

Posted on January 17th, 2016 by Sarah  |  No Comments »