Selamat Tinggal Moscow (Episod 1)

DSC_0048

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam, hampir enam tahun saya menetap di sini. Dari tahun pertama sehingga ke hari ini, ada banyak perkara telah terjadi. Ada yang baik, ada juga yang buruk. Tapi kesemua pengalaman inilah yang menjadikan saya yang sekarang.

Mungkin ramai yang berfikir seronok hidup di perantauan. Bagi saya, tiada yang lebih indah dan baik melainkan negara sendiri. Biar busuk nama kita dicaci di bumi sendiri, hati kita tetap sayang dengan segalanya yang ada di sana. Cuma satu yang saya lihat bagus untuk perkembangan diri seorang remaja. Bila berjauhan dengan keluarga, saya belajar membentuk diri secara berdikari tanpa diatur oleh orang lain. Membesar menjadi diri sendiri dan membuat pertimbangan baik buruk segalanya berteraskan penilaian peribadi. Semua ini menjadikan diri seseorang itu lebih matang dan bertanggung jawab terhadap taklifan yang dipikulnya.

Mungkin kalau hidup di negara lain, jawapan kawan-kawan adalah sangat menyeronokkan. Tapi bagi kami di Rusia ini, ada banyak halangan yang telah kami tempuhi. Dari segi bahasa, masyarakat setempat yang kurang mesra, korupsi dari segi ekonomi dan gaya hidup masyarakatnya yang menjadikan kami semua keras dan teguh. Ditambah pula dengan pandangan negatif mereka yang tertutup mindanya. Kata mereka: Apa guna datang ke bekas negara Komunis begini. Tapi bagi saya dan kawan-kawan, kami suka akan semua ini. Ini semua adalah cabaran yang membentuk kami menjadi kami yang cekal dan kuat.

Ketika pertama kali tiba di sini, Duta Besar Malaysia ke Moscow ketika itu, Dato’ Kamarudin pernah berkata begini: Entah apalah dosa kamu semua di kehidupan yang lalu sampai dihantar ke Rusia ini. Jadi, boleh bayangkan apakah persepsi kalian apabila dikatakan begini? Tapi Dato’ dan isterilah sebenar-benar emak ayah untuk tiga tahun pertama saya di sini. Mereka sangat menjaga kebajikan pelajar-pelajar waktu itu sementelah bilangan kami semua tidaklah seramai mana.

Ketika membuat persediaan di INTEC pula, Miss Penny pernah berkata bergini: Kalau kamu semua dapat survive hidup di Rusia, campaklah kamu semua ke mana saja lepas ni. Kamu pasti boleh survive. Pendapat saya tentang hal ini: Sangat betul! Keadaan hidup kami dalam suasana yang begini menjadikan kami semua ‘kuat’. Bersiap sedia untuk berhadapan dengan yang terburuk dalam apa jua situasi. Inilah Rusia.

Ketika di tahun pertama, segalanya serba-serbi baru. Saya belajar menyesuaikan diri dengan sistem belajar dan masyarakat di sini. Ini yang paling utama. Ketika itu hidup kami semua susah. Hidup di Moscow yang mahal ini hanya berbekalkan USD200 saja sebulan. Kata emak dan ayah, walau apapun jadi, kena telefon rumah setiap minggu. Tidak cukup duit, emak dan ayah akan masukkan. Tapi tak tahulah bagaimana kami berjimat dulu-dulu, kami boleh hidup hanya berbekalkan USD200 itu. Makan ala kadar saja. Tiada erti nak bermewah makan besar di luar. Paling-paling habis, kami makan di Pikaso dan Sinbad. Itu saja.

Tahun dua pula merupakan tahun yang paling santai antara semua. Hanya ada dua subjek utama. Tapi disebabkan tahun itu saya sedang mengalami kebejatan emosi, saya alihkan perhatian saya hanya pada buku-buku. Percaya atau tidak, saya khatam buku rujukan Ganong untuk Physiology itu. Hidup saya hanya dengan buku dan studi saya. Bila senggang, saya menulis sajak. Pada tahun itulah saya banyak menghasilkan karya. Dan bila sudah letih belajar, saya akan bermain Puzzle Word di laptop saya bersama Amnah, teman sebilik saya (junior di KISAS dulu).

Dalam tempoh enam tahun ini, tahun yang paling menyeksakan bagi saya ialah ketika di tahun tiga. Saya terpaksa tiga kali berpindah randah. Saya tidak pernah ceritakan secara terperinci apa yang terjadi dulu kerana takut emak dan ayah akan risau. Saya rasa, kalau mereka tahu apa sebenarnya yang terjadi, mereka sendiri pun tidak sanggup hendak biarkan saya terus di sini. Jadi sampai ke hari ini, mereka masih tidak tahu dengan sejelasnya apa yang telah saya dan dua orang lagi kawan lalui. Waktu itu saya serumah bersama Farah dan Shima. Susah payah hidup kami kongsi bersama. Walaupun kami hanya serumah selama enam bulan, tapi tempoh inilah yang terlalu banyak mengajar saya tentang kedewasaan. Namun segala peristiwa inilah yang menjodohkan saya dengan teman serumah yang ada sekarang: Fareena, Fatini, Wanie, Diba dan Emy. Tiga tahun lebih kami semua tinggal bersama. Dan saya sayang mereka seperti saudara kandung saya sendiri.

Tahun keempat pula merupakan tahun adaptasi bahasa yang terhebat terpaksa saya lalui. Saya baru saja masuk ke tahun klinikal dan peralihan bahasa perantara daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Rusia agak menyusahkan kami semua. Saya rasa otak saya terbalik. Sampaikan, bila saya menelefon keluarga, saya akan duduk di dapur dan mesti akan menangis memberitahu emak tentang masalah ini. Tapi kena bertahan. Sudah separuh jalan pun. Tiga tahun sudah selesai. Tinggal tiga tahun saja lagi untuk tamat. Mahu tak mahu, terpaksa bekerja keras sungguhlah pada ketika itu. Kamus Russian-English memang menjadi teman terbaik. Habis lunyai kamus saya tu. Tidur malam hanya sekitar dua ke tiga jam. Kelas dari pagi sampai petang. Di sebelah malam, wajib mengulang kaji dan membuat nota peribadi dengan baik. Persediaan ke kelas juga perlu dibuat. Memang penat. Memang menyeksakan.

Ketika berada di tahun lima pula, saya sangat kerap sakit. Dalam masa setahun, tiga kali saya mendapat pneumonia (paru-paru berair). Keadaan saya sangat teruk. Housemates sayalah yang menjaga saya. Terutamanya Fareena. Sangat banyak yang telah dibantunya. Juga Wanie yang kerap menemani saya ke hospital. Tapi Allah tak bagi ujian kalau kita tak mampu menghadapinya. Alhamdulillah. Saya sangat berpuas hati dengan keputusan final exam tahun itu. Segalanya seperti yang dihajatkan.

Dan dalam tempoh enam tahun ini, tahun enam adalah tahun yang menentukan saya ini menjadi manusia atau apa. Tahun ini mengajar saya serba-serbi tentang erti hidup, persahabatan, kasih-sayang dan persaudaraan. Tahun akhir ini juga membuatkan saya banyak berfikir, jalan hidup yang manakah menjadi pilihan saya. Serius, saya menjadi seorang yang sangat banyak berfikir. Kalau saya diam, maksudnya saya sedang berfikir. Sedang dalam keramaian pun, saya boleh duduk diam saja kerana berfikir. Apabila melihat manusia di sekeliling saya, saya akan bertanya kepada diri sendiri, saya mahu jadi manusia yang bagaimana. Corak hidup yang bagaimana mahu saya lakar untuk diri saya. Saya boleh kekal dengan apa yang saya ada. Dan saya boleh berubah kalau saya mahukannya. Semuanya terpulang kepada saya.

Satu perempat daripada kehidupan saya selama 24 tahun ini dihabiskan di sini. Moscow ialah rumah saya sejak enam tahun lalu. Rumah yang telah membesarkan saya untuk menjadi dewasa. Rumah yang memberi saya jiwa. Rumah tempat saya menumpang kasih dalam kembara ini. Juga rumah tempat saya mendapat kawan dan saudara. Dan kini tiba masanya untuk saya meninggalkan rumah ini. Untuk kembali ke tanah bonda. Dalam hati, sebak terasa semakin dalam dan rasa sayangkan tanah ini semakin menebal.

Terima kasih Moscow kerana menjadi guru terbaik dalam mengajar saya erti kehidupan. Terima kasih Moscow kerana memberi kesempatan untuk saya belajar menjadi seorang insan. Terima kasih Moscow kerana mengenalkan saya kepada siapa kawan, siapa lawan. Terima kasih Moscow kerana sudi menumpangkan saya bermukim di sini, memberi pengalaman dan menghadiahkan saya kekuatan dan kejayaan.

Cinta dan rindu buat tanah ini akan sentiasa di hati. Kerana Moscow itu rumah yang penuh kenangan. Yang punya tempat istimewa di hati ini.

Nota: Kalau makan di luar, saya selalu memilih untuk makan blinni. Sejenis pancake. Russian pancake. 6 tahun di sini mengajar perut saya untuk menjadi Russian.

31 Responses to “Selamat Tinggal Moscow (Episod 1)”

  1. nur.sa says on :

    salam sarah. sy baru terjumpa blog sarah. tetiba ada plak entri selamat tinggal moscow. apepun blog sarah best. 😉 nak terus membaca lagi.

    Reply

    Sarah Reply:

    Salam Sakinna.

    Selamat tinggal untuk Moscow saja. Hidup masih terus di Malaysia. Saya masih di sini. Terima kasih sebab sudi singgah membaca di sini 🙂

    Reply

  2. Mr Black gagak says on :

    😎

    Reply

    Sarah Reply:

    😉

    Reply

  3. kak izz says on :

    angah,

    as usual, tulisan angah memang best!!
    keep ’em coming!!
    waiting for the 2nd episode of the ‘saga’..

    terima kasih moscow kerana menjadikan angah sebagai angah yang sekarang ini.. 😉

    Reply

    Sarah Reply:

    Alamak Kak Izz,

    Mana ada best pun. Malu saya. 😳
    Terima kasih Moscow kerana menemukan saya dengan Kak Izz di alam maya 😉

    Reply

  4. Diya says on :

    “Tahun ini mengajar saya serba-serbi tentang erti hidup, persahabatan, kasih-sayang dan persaudaraan.”

    =)

    P/s-Diya rasa macam Moscow sudah tawan hati KS sepenuhnya. Huhu.

    Reply

    Sarah Reply:

    Kenapa Diya quote kan ayat tu ye? Hehe.
    Memang Moscow dah tawan KS, jiwa dan raga. 😉

    Reply

  5. Bro Fisol says on :

    suatu rentetan perjalanan yang penuh cabaran..terasa kagum bila membacanya..

    Reply

    Sarah Reply:

    Penuh cabaran sampaikan tuan diri ni banyak betul menangisnya. :mrgreen:

    Reply

  6. irmadilondon says on :

    Tahniah Sarah kerana berjaya mengharungi 6 tahun hidup diperantauan sebagai muslimah yang baik..

    Ya..macamana seronok pun negara orang, seronok lagi negara sendiri.
    Alhamdulillah, moga kembalinya kita nanti akan menjadi manusia yang lebih bersyukur…

    Reply

    Sarah Reply:

    Hari tu kan kak, waktu tengah transit di London, saya teringat kat akak. Sebab nick akak ni. 🙂

    Dan sebelum boarding to KL, saya cakap pada diri saya sendiri: Saya tak nak jadi macam yang saya tak suka. Semoga saya dijauhkan daripada hasutan2 yang mengubah cara hidup saya.

    Terima kasih kak atas peringatan tu 🙂

    Reply

  7. hariz,H says on :

    sini wajib summer sem. cuti akhir naik tahun sebulan je. paling lama. kejapnya balik malaysia. 🙁

    Reply

    Sarah Reply:

    KS bukan balik cuti sem. KS balik Malaysia for good.
    Anyway, sini cuti hujung 2nd sem ada dalam 2 bulan lebih. Tapi takde la cuti2 lain dah lepas tu termasuk raya. Sekali harung semua cuti di hujung tahun aje.

    Reply

  8. truemax says on :

    Salam Angah,

    Tempat jatuh lagi dikenang ini kan pula tempat tinggal selama hampir 6 tahun!

    Mula-mula tengok entri ni macam panjang… tapi bila baca sekejap je rasanya.. best sangat cerita dia ni.

    Tak sabar nak menunggu episode 2. 🙂

    Have safe journey home.

    ::truemax

    Reply

    Sarah Reply:

    Tapi sebenarnya tak panjang sangat kan.

    Thanks Truemax. Dah selamat sampai dah pun.

    Reply

  9. akmar says on :

    sarah, hehe. suke lah tgk gambar2 kt sana. keep updating okeh, even klu dh balik malaysia. 😉 :mrgreen:

    Reply

    Sarah Reply:

    Lepas ni update gambar Malaysia la pulak ye. 😉

    Reply

  10. Wanie says on :

    salam.

    kalau ks 6 tahun untuk jadi perut Russian, wanie ni baru tahun ke-4 dah jadi org rusia : Tak Tahan Pedas! Hahahaaa :mrgreen:

    Reply

    Sarah Reply:

    Salam Wanie.

    Kamu Russian celup! Hihik. :mrgreen:
    Biar Russian pada perut, bukan Russian pada cara hidup. 😎

    Reply

  11. Kak Cinta says on :

    Salam…
    Usaha tangga kejayaan kan? alhamdulillah Sarah dah berjaya..datang sebagai Sarah dan kembali sebagai “DR.Sarah”…pahit yang tetap ada manisnya :)…semoga sarah terus berjaya dan dirahmati Allah sentiasa.Mesti rindu mula mengunung bada bumi tsar kan?

    Reply

    Sarah Reply:

    Sesungguhnya, setiap jam pada hari ni, mesti saya ada termenung kejap sebab teringat Moscow. 🙁

    Reply

  12. Yeop8883 says on :

    salam…

    satu coretan yang luar biasa sepanjang 6 tahun di russia…sebak menbacanya..!! :mrgreen:

    Reply

    Sarah Reply:

    Jangan nangis pulak ye. Hehe.

    Reply

  13. pencacai tua says on :

    pengalaman mengjajar kite tntang kehidupan..sy sronok masa sarah di tahun 6.pemikiran lebih kurang same je ngan sy..banyak memikir tntang hdup.. yang pasti umur kite makin meningkat dan kite makin matang..seronokkan.

    Reply

    Sarah Reply:

    Kalaulah pada usia yang macam ni kita tak fikir tentang hidup, tak tau la kan. Jangan terbabas hidup kita sudah. 🙂

    Reply

  14. kadir says on :

    “Kalau kamu semua dapat survive hidup di Rusia, campaklah kamu semua ke mana saja lepas ni. Kamu pasti boleh survive”

    Ungkapan yang sama pernah diutarakan kepada kami di Mesir. Moga segala pengalaman yang ada dapat membantu kita lebih kuat menghadapi cabaran sebagai doktor pula.

    Selamat tinggal Moscow, selamat kembali ke Malaysia, ramai insan menantimu di sana.

    PS: menghabiskan Ganong? suatu yang tak dapat saya bayangkan 🙂

    Reply

    Sarah Reply:

    Saya pernah ke Mesir. Jadi, saya simpulkan, frasa tu sesuai juga untuk kawan2 di sana. Cabaran kita besar. Hidup di samping bangsa yang kasar dan bergegas je ni kan. Semoga semua ni dapat membantu kita betul2 survive dalam apa jua yang kita semua lalui nanti 🙂

    p/s: Saya sukaaaaa Ganong 😀

    Reply

  15. Saffa says on :

    Hidup di tempat asing memang akan banyak mengajar kita. Lagi jauh tempat tu, lagi asing tempat tu.. Lagi ‘kuat’ kita akan jadi. =)

    Saffa setuju dengan KS “Biar busuk nama kita dicaci di bumi sendiri, hati kita tetap sayang dengan segalanya yang ada di sana”

    Reply

    Sarah Reply:

    Siapa tak sayang negara, mari kita simbah dia dengan belacan, budu, cencaluk semua tu. Lepas tu kita mandikan dia dengan air telaga dan pakaikan dia dengan kain sarung je. Kalau lepas tu tak datang juga rasa sayang pada negara, kita buang negara aje. 😆

    Reply

  16. hafiz says on :

    sorry for late comment.

    menarik baca tulisan pasal nostalgia di Moscow ni. Insha-Allah akan menulis mengenai Melbourne juga hujung tahun ni 🙂

    Reply

Leave a Reply